Tuesday 30 August 2016

Erti Sebuah Kemerdekaan

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat malaysia.

Tuesday 15 September 2015

hati perempuan

http://www.layandrama.net/hati-perempuan-episod-1.html

Asal Usul Bangsaku " Orang Sungai"

PENGENALAN Adab resam merupakan sesuatu benda yang wajib bagi sesuatu kaum dan setiap bangsa di Malaysia ini mempunyai adab resamnya yang tersendiri. Abad resam yang diterima pakai dan dijadikan peraturan dan panduan dalam hidup. Seterusnya ia akan membentuk hukum yang akan diamalkan dalam kehidupan masyarakat tersebut. Abad yang diamalkan oleh sesuatu kaum itu akan melambangkan kaum tersebut. Hal ini demikian kerana, adab yang diamalkan oleh sesebuah kaum adalah berbeza dan ia mengikut kepercayaan dan pantang larang masing-masing. Ada sesetengah adab yang diamalkan akan menyalahi agama terutama agama Islam contohnya adab menolak bala. Adab ini seolah olah tidak percaya kepada kebesaran pencipta sehingga adab resam yang karut ini dilakukan. Menurut pendapat Mac Iver, (1970,22) “ adab resam sebagai latar cara yang diterima mengenai cara makan, bertutur, berjumpa sahabat handai dan sebagainya atau adab itu cara bertindak yang umum dipercayai secara sosial. Dalam kamus dewan pula, menurut pandangan ( Tengku Iskandar, 1984,975) mentafsirkan istilah adab resam sebagai “ adab kebiasaan, aturan-aturan yang menjadi adab resam seperi makan bertertib, bersopan- santun ketika bertutur di mana ia menjadi sifat atau tabiat manusia semula jadi yang menjadi ikutan turun-temurun. Daripada penafsiran adab resam tersebut kita dapat mengetahui anggota masyarakat yang mengamalkan adab resam dalam kehidupan mereka kehidupan mereka lebih bertatacara. Adab resam setiap kaum berbeza tetapi persamaanya tujuannya sama iaitu untuk membentuk satu masyarakat yang maju, dinamik dan prograsif. Menurut pendapat R.Roolvinki 1966, “ budaya adalah berasal daripada perkataan asalnya iaitu budi dan daya dan daripada perkataan inilah munculnya perkataan budaya. Pendapat ini juga disokong oleh R.Roolvink. Manakala menurut pandangan M.Herskotives mengatakan manusia yang mempunyai budaya dapat berinteraksi antara satu sama lain. Budaya ini adalah perlakuan manusia yang dipelajari dan bersifat simbolik. ASAL-USUL SUKU KAUM SUNGAI DI SABAH. Dari catatan sejarah, asal usul mengenai orang Sungai adalah bermula dari 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusuri sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Labok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi menyusuri sungai kinabatangan sehingga ke Kampung Labok yang masih wujud ketika ini, beliau tersempak dengan masyarakat dengan panggilan the river people. Selepas peristiwa berikut dan semasa pemerintahan The Britian North Borneo Company, panggilan ini telah ditukar kepada Orang Sungai. Mengikut Whelan F.G Orang Sungai pada asalnya adalah orang Dusun tetapi oleh kerana pada zaman itu mereka berada di bawah pemerintahan kesultanan. Orang sungai kebanyakannya mereka telah menganut agama Islam dan mula menetap di tepi sungai, mereka mengasingkan diri dan orang dusun atau dipanggil orang barat dan cuba menyesuaikan diri dengan cara hidup mereka di tepi-tepi sungai sehingga akhirnya berlaku perubahan dari segi hidup dan pertuturan. Suku kaum sungai juga merupakan suku kaum Idahan yang salah satu kumpulan etnik peribumi di Sabah yang terawal dan terdapat di kawasan pantai timur Sabah, iaitu di daerah Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan. Manakala bilangan suku kaum ini agak sedikit dan dianggap sebagai suku kaum minoriti di Sabah, jumlah ini adalah berdasarkan anggaran sahaja. Keadaan ini berlaku kerana tidak ada satu angka yang tepat tentang jumlah sebenar penduduk suku kaum Idahan di Lahad Datu. Anggaran dibuat berdasarkan jumlah pengundi yang berdaftar dan suku kaum Idahan ini dikategorikan sebagai bangsa lain-lain dalam perangkaan penduduk Malaysia. Sebenarnya suku Idahan mempunyai rumpun atau keluarga sendiri seperti kelompok kaum Dusun dan Bajau. Mereka boleh dibahagikan kepada tiga subkeluarga seperti agama, bahasa dan tempat tinggal. Dalam penempatan pula suku kaum Idahan kebanyakannya tinggal di daerah lahad datu di setiap perkampungan seperti di kawasan sekitar tungku di panggil begahak dan dikawasan sandakan dan kinabatangan mereka di panggil orang sungai. Walaupun suku kaum ini di panggil dengan nama yang berlain tetapi meraka adalah dalam satu rumpun yang sama. Oleh kerana disebabkan penggunaan bahasa yang sama dan boleh berinteraksi antara satu sama lain. Sebahagian suku kaum sungai juga penganut agama islam dan ada yang beragama kristian manakala terdapat juga masih tiada menganut apa-apa agama. Walaupun berlainan agama, hubungan kekeluargaan mereka tidak terputus. Malahan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan ada juga yang tinggal di kawasan kampung yang sama. Mengikut sejarah perkembangan agama Islam di Sabah, suku kaum Sungai merupakan pemeluk agama yang pertama di negeri sabah. Sumber ini dibuktikan pemelukan agama Islam oleh salah orang berturunan idahan yang tinggal di kawasan Lahad datu, sabah pada tahun 1408. Orang tersebut bernama Abdullah dan pengislamannya dilakukan dikawasan teluk Darvel oleh auliah dari arab yang bernama auliah Makdum. Fakta ini dapat dibuktikan dengan pertemuan sebuah manuskrip lama yang bertulisan Jawi dalam bahasa Sungai lama daripada salah satu tokoh agama di daerah Lahad Datu, iaitu Imam Injir atau dikenali juga sebagai Ahmad bin Imam Panjang. Khazanah yang berharga ini di temui oleh Tom Harrison semasa beliau membuat kajian tentang suku kaum Sungai di Lahad Datu. Dalam suku kaum idahan ini terdapat juga nama kampung yang diambil berdasarkan sifat dan bentuk sungai seperti kawasan sapagayo. Pemberian nama kampung ini adalah berdasarkan bentuk sungai itu yang dikata menpunyai banyak air besar, iaitu sapa bermaksud air dan gayo pula bererti besar. Begitu juga dengan nama kampung terusan yang menpunyai banyak anak sungai yang berbentuk terusan dan terdapat sungai-sungai kecil yang berterus menghubungkan ke sungai sapagayo. Justeru itu, nama-nama tempat yang dibuat oleh suku kaum Sungai adalah sifat alam yang terdapat dikawasan yang mereka diami. Pada masa kini, suku kaum Sungai berada dalam situasi peralihan daripada sebuah masyarakat tradisional kepada masyarakat bandar. Keadaan ini berlaku sebahagian daripada aktiviti ekonomi pasaran, selain itu sistem ekonomi sara diri proses peralihan. Sistem ekonomi sara diri kepada sistem ekonomi pasaran. Selain itu, telah ramai generasi muda melibatkan diri dalam perkerjaan berpendapatan tetap sama ada dalam sektor kerajaan, mahupun sektor swasta. Perubahan yang berlaku ini akibatnya daripada pendedahan sistem pendidikan, perubahan kehidupan yang berlaku bukan sahaja dari sesi ekonomi malahan turut melibatkan kepada aspek lain seperti kepimpinan, perkahwinan dan kekeluargan serta adat resam yang turut berubah. KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG KAUM SUNGAI. Sesebuah masyarakat yang wujud akan mempunyai kepercayaan dan pantang larangnya yang tersendiri. Kepercayaan dan pantang larang ini tidak dapat dipisahkan daripada sesebuah masyarakat kerana ia merupakan pembentuk dan pengenalan kepada sosiobudaya sesuatu bangsa. Oleh itu, untuk mengenali sesuatu bangsa itu dengan lebih mendalam maka amat wajar bagi seseorang itu untuk mengetahui sosiobudaya dan pantang larang kaum tersebut. Menurut seorang pengkaji budaya, kepercayaan dan pantang larang yang di amalkan oleh kaum Idahan atau dikenali juga sebagai kaum sungai ini hampir sama dengan suku kaum peribumi yang lain di Sabah. Cuma yang akan membezakan ialah cara pengendalian dan pengaplikasian di dalam kehidupan kaum sungai ini. Jadi untuk melihat sejauh mana mereka patuh dengan sistem sosial mereka yang di amalkan bergantung kepada persepsi dan pengamalan dalam masyarakat tersebut. Amalan kepercayaan dan pantang larang ini telah membentuk disiplin sosial dalam kalangan masyarakat Sungai. Jika mereka tidak menurut kepercayaan dan pantang larang mereka, mereka akan dikhuatiri sesuatu bala bencana akan menimpa kepada mereka. Hai ini telah menimbulkan unsur-unsur ketakutan yang akan menjadi pendorong kepada ahli masyarakat untuk patuh kepada amalan-amalan tradisional ini. sistem sosial kaum Idahan juga adalah implementasi pengalaman kehidupan sejak lahir. Kepercayaan yang dipegang dalam kaum ini diperoleh daripada pengalaman ritual dan diwariskan secara turun-temurun daripada ibu bapa. Pantang larang ini juga boleh dianggap sebagai suatu disiplin lisan. Selain itu, ia juga boleh dirujuk kepada had-had kehidupan yang digaris oleh sistem kepercayaan terutamanya tentang makhluk halus yang turut menetap bersama dengan mereka. Jika berlaku ingkar, mereka percaya akan mengundang bencana yang tidak diingini. Di sini dapat memperlihatkan bahawa pantang larang yang diamalkan itu bertujuan untuk melindungi seseorang daripada sebarang malapetaka yang berlaku daripada kuasa ghaib. Dalam kaum Sungai ini pantang larang yang dipengaruhi oleh konsep liwon. Konsep ini begitu kuat sekali kerana ia mempengaruhi aspek sosial dan masyarakat itu. Antara kepercayaan dan pantang larang yang terdapat dalam masyarakat kaumSungai ini seperti amalan dalam kegiatan ekonomi, amalan pembinaan rumah, wanita yang mengandung dan ketika menyambut kelahiran bayi, upacara tolak bala. Selain itu, terdapat juga amalan kepercayaan dan pantang larang lain dalam kehidupan seharian. Contoh kepercayaan dan pantang larang harian dalam masyarakat Sungai seperti jika tengah memasak tidak boleh menyanyi terutama anak dara, begitu juga semasa membuang air kecil atau air besar. Hal ini demikian kerana masyarakat kaum etnik ini mempercayai akan mendapat pasangan yang tua semasa berkahwin nanti. Selain itu, anak dara juga tidak dibenarkan untuk duduk di atas tangga rumah depan ataupun tangga dapur kerana dipercayai lambat menerima jodoh. Kepercayaan dan pantang larang ini bukan sahaja melibatkan golongan anak dara tetapi melibatkan juga golongan kanak-kanak. Antara kepercayaan dan pantang larang dalam kalangan kanak-kanak seperti kanak-kanak tidak boleh bermain api kerana dipercayai apabila besar nanti akan menjadi seorang pencuri. Selain itu, kanak-kanak yang belum tumbuh gigi tidak boleh diletakkan di atas kepala kerana dipercayai akan tumbuh gigi secara bertingkat. Di samping itu, kepercayaan dan pantang larang harian yang lain juga terdapat dalam kaum Sungai ini seperti apabila seseorang itu bersin hendaklah dipanggil semangatnya dengan seruan “baliklah semangat kau ke dalammu semula”. Kaum ini juga tidak boleh menyiku atau bermain siku-menyiku kerana ia dipercayai perbuatan menyumpah dan boleh mengakibatkan pendek umur. Perbuatan bersiul pada waktu siang ataupun malam tidak boleh dilakukan oleh kaum ini. Hal ini demikian kerana, jika perbuatan ini dilakukan pada waktu siang ia dianggap sial manakala jika berlaku pada waktu malam pula ia dianggap memanggil hantu. Hal ini kerana perbuatan bersiul ini merupakan permainan syaitan dan iblis .Selain itu, terdapat banyak lagi kepercayaan dan pantang larang dalam kaum Sungai ini. Sebenarnya segala kepercayaan dan pantang larang yang wujud ini adalah pembentuk sosial atau cara untuk mendidik anak-anak. Misalnya, kepercayaan dan pantang larang yang kanak-kanak yang sedang bermain api itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat kerana pada masa dahulu orang-orang Idahan ini menggunakan pelita atau lampu daripada minyak tanah. Jadi untuk mengelakkan daripada berlakunya kebakaran jadi orang tuan terdahulu telah membuat kisah yang menakutkan ini untuk menakutkan kanan-kanak supaya kanak-kanak ini tidak lagi bermain dengan api. Selain itu, kepercayaan dan pantang larang berkaitan dengan anak dara yang tidak boleh menyanyi di dapur semasa memasak sebenarnya simbolik agar si dara berjumpa dengan pasangan yang tua. Sebenarnya, ia mempunyai maksud yang tersirat iaitu supaya makanan yang dimasak itu tidak hangus dan tidak berlaku kebakaran. Kepercayaan dan pantang larang dalam masyarakat sungai ini masih diamalkan sehinggalah ke hari ini. Walaupun sekarang merupakan zaman moden dan akan menuju ke zaman globalisasi, kepercayaan ini masih kukuh dalam kehidupan masyarakat kaum Sungai ini sebagai pembentuk sosial kepada anak-anak mereka. Selain daripada kepercayaan dan pantang larang harian yang di amalkan mereka juga terdapat kepercayaan dan pantang larang kepada wanita yang sedang mengandung. Dalam kaum Sungai ini wanita yang mengandung mestilah mengikut bebrapa pantang larang dan adab kelahiran bayi. Hal ini demikian kerana, menurut kepercayaan kaum Sungai, jika si ibu ingkar kepada pantang larang ini maka si anak memperoleh rogkot dalam kehidupannya. Oleh itu, pantang larang dan adab ini telah diterapkan daripada bayi itu dalam kandungan ibu lagi. Menurut kaum Sungai lagi, kaum ibu yang mengandung ini mudah dirasuk dan diganggu oleh syaitan dan makhluk halus. Oleh itu, wanita yang mengandung ini akan memakai wangi-wangian yang disapu dengan bonglai pada seluruh badan supaya mereka tidak diganggu. Selain itu, wanita yang mengandung ini juga tidak boleh menjahit seperti menampal kain kerana dipercayai air tembuni akan bertambah banyak. Wanita yang mengandung juga tidak boleh berjalan pada waktu malam, hujan dan waktu berlaku ribut kerana pada masa ini makhluk halus dan syaitan suka berkeliaran. Disebabkan hal ini, wanita yang mengandung ini tidak dibenarkan keluar kerana dikhuatiri apabila diganggu boleh membawa kemudaratan seperti berlakunya keguguran ataupun bersalin awal. Di samping itu, wanita yang mengandung apabila berjalan tidak perlu mengikat rambut sebaliknya dihuraikan sahaja rambut itu. Hal ini demikian kerana, dengan perbuatan seperti menghuraikan rambut ini akan menakutkan dan mengelakkan gangguan makhluk-makhluk halus. si suami atau si isteri juga tidak boleh membunuh binatang kerana ditakuti akan terkena kenan daripada binatang yang dibunuh. Bagi wanita mengandung yang telah kehilangan suami, wanita ini hendaklah memakai pakaian suami sehingga selepas bersalin. Apabila tiba waktu bersalin dan sekiranya berlaku keadaan di mana si ibu mengalami kesulitan ketika bersalin, maka bidan akan mengarahkan kepada suami kepada wanita yang bersalin itu memakai kain. Selepas itu si suami dikehendaki melangkah perut si isteri sambil berkata “ keluarlah kau anak janganlah kau berkecil hati dengan bapak”. Selepas bersalin, wanita itu kan mandi untuk menbersihkan badan sehingga selesai waktu nifas. Mengikit kepercayaan masyarakat Idaham “mandi bersih badan” ini mempunyai beberapa peringkat iaitu pertama, mandi tiga hari selepas bersalin kedua, mandi pada hari ke tujuh, hari 20, hari ke 40 dan yang terakhir pada hari yang ke 44 hari. orang yang bertanggungjawab memandikan ialah bidan itu sendiri. Pantang larang dalam amalan yang seterunya ialah pantang larang dalam amalan upacara tolak bala. Amalan ini dilakukan pada hari rabu di akhir bulan Safar setiap tahun. Amalan ini dilakukan dengan tujuan untuk menghindarkan segala malapetaka untuk tahun seterusnya. Menurut kepercayaan suku kaum Sungai hari rabu merupakan hari nafas atau hari yang berbahaya. Ketua kampung merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mengumumkan hari tolak bala tersebut. Selepas pengumuman dilakukan, maka proses penyediaan makanan akan bermula. Antara sajian yang wajib ada semasa upacara ini berlangsung ialah ketupat. Kebiasaanya tempat untuk melakukan upacara ini ialah di kawasan sungai yang berhampiran dengan rumah ataupun di kawasan muara sungai Apabila tiba hari tolak bala, semua penduduk akan berkumpul di kawasan yang telah ditentukan oleh imam kampung. mereka akan membawa makanan yang telah mereka sediakan untuk dijamu bersama-sama. Apabila semua sudah berkumpul, maka imam akan memulakan bacaan doa arwah dengan diikuti dengan bacaan doa selamat supaya segala yang tidak baik dapat dijauhi. Selesai pembacaan doa yang dilakukan oleh imam, mereka akan menjamu selera bersama-sama. Apabila selesai makan, imam akan memulakan upacara tolak bala. Semasa upacara ini berlangsung, setiap individu mesti memegang objek-objek seperti pasir atau batu di tangan semasa acara tolak bala itu dilakukan. Apabila imam menjiruskan air ke badan mereka, maka batu atau pasir yang dipegang itu akan dilepaskan serta merta bersama-sama air tolak bala itu sambil berniat semoga segala perkara yang tidak baik akan terikut pada waktu atau pasir tertentu. Semua yang sampai akan dikumpul dan akan dihanyutkan dengan menggunakan satu kapal kecil yang dihiasi dengan bendera dengan berwarna-warni, selepas acara tolak bala berakhir. Dalam upacara tolak bala ini terdapat dua bacaan tolak bala, iaitu pertama, bacaan ketika mandi. Dan yang kedua ialah bacaan yang dihembus ke dalam satu tempayan dan di minum untuk seisi keluarga. Pada hari upacara tolak bala itu berlangsung tidak dibenarkan seorang pun membuat aktiviti kerana dikhuatiri jika berlaku sesuatu perkara ia boleh membawa maut dan mendapat musibah yang besar. Pada masa kini, amalan ini telah mengalami perubahan kerana telah berlaku pendedahan kepada anak- anak muda tentang ajaran islam dan hukum-hukum agama islam. perkara-perkara yang melanggar ajaran Islam telah ditinggalkan. Sekarang, upacara tolak bala ini dilakukan di masjid kampung. Kaum lelaki akan datang dengan membawa makanan yang disediakan dari rumah untuk dijamu bersama-sama jemaah masjid yang lain. Upacara ini dilakukan apabila selesai solat Zuhur dan iman akan membaca doa arwah dan doa selamat . Selesai bacaan doa selamat mereka semua akan menjamu selera dan selepas itu mereka kan bergotong-royong akan membersihkan kawasan tempat makan. Apabila selesai membersihkan kawasan tempat makan para jemaah akan pulang ke rumah masing-masing dan ini boleh dikatakan amalan tolak bala sudah tidak diamalkan lagi. ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN SUKU KAUM ORANG SUNGAI 1) Merisik (Jarum-jarum) : Pihak lelaki akan menghantar 1 atau 2 orang wakil untuk bertandang ke rumah si gadis yang telah dicalonkan oleh lelaki untuk tujuan merisik. Tujuan ini untuk mengetahui status c gadis sama ada sudah berpunya atau belum. Jika belum berpunya, maka wakil akan memberikan notis kepada pihak si gadis untuk bertandang sekali lagi untuk meminang pada tarikh yang akan ditetapkan. 2) Meminang (Menawo) : Kedua-dua pihak akan menghantar wakil masing-masing untuk melakukan perundingan bagi majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Wakil tersebut hendaklah mempunyai pengalaman tentang adat istiadat perkahwinan dan fasih berkata-kata semasa melakukan perundingan. Hasil perundingan tersebut perlulah ada kata sepakat dan harmoni agar tidak ada yang terguris bagi mana-mana pihak. Penyerahan pembuka mulut(pengawang basaro) dilakukan untuk memulakan majlis meminang sebagai tanda budi pekerti dan sopan santun dari pihak lelaki. Selain itu, penyerahan belanja duduk juga akan diberikan sebagai bayaran perbelanjaan majlis meminang kepada tuan rumah. Jika sudah mendapat keputusan perundingan, jumlah hantaran dan juga mas kahwin, sebentuk cincin (panando) akan disarungkan di jari si gadis dari pihak lelaki sebagai tanda setuju yang si gadis telah pun dipinang. Tarikh penghantaran hantaran perlu ditetapkan agar pihak lelaki bersedia. Adat kelangkahan akan berlangsung jika terdapat langkah bendu. Perkara ini akan ditentukan dari persetujuan kedua- dua pihak. 3) Majlis Hantaran (Mengossur) : Semasa majlis ini, pihak lelaki kena menyerahkan kelengkapan dengan penut adat istiadat untuk diberikan kepada pihak si gadis. Jumlah permintaan hantaran mestilah tepat seperti yang dijanjikan. Hantaran yang diberikan hendaklah dibalas dengan hiasan kraftangan yang cantik sebagai tanda terima kasih. Bilangan dulang hendaklah dalam bilangan ganjil dan pihak si gadis perlu membalas melebihi hantaran lelaki. Tarikh perkahwinan dan aturcara majlis pernikahan akan dibincangkan dalam majlis ini atas persetujuan kedua pihak. 4) Majlis Malam Berinai (Gabbpie Tullau) : Pengantin lelaki akan menghantar satu set kelengkapan untuk majlis berinai pada malam sebelum majlis pernikahan. Acara ini dilakukan di rumah pengantin masing-masing yang dihadiri oleh kaum kerabat sahaja. Dalam majlis ini, acara cukur jambul, membaca berzanji, marhaban dan khatam Al-quran turun diadakan bagi memeriahkan majlis. Menurut pantang larang kaum sungai, pengantin digalakkan untuk berjaga (tullau) sepanjang malam untuk mengelakkan mendapat mimpi yang buruk. 5) Majlis Nikah Kahwin (Nagnikah) : Berdasarkan hukum-hakam agama islam, majlis nikah akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Menurut adat membuka pintu (okab lawang) akan diminta oleh keluarga pengantin perempuan selepas pernikahan diikuti dengan bacaan doa kesyukuran selepas akad nikah dijalankan. Selepas itu pengantin akan bersalaman dengan para tetamu dan pengantin lelaki akan membawa isterinya masuk ke bilik untuk upacara pembatalan air sembahyang. Sebelum masuk ke bilik pengantin, adat membuka pagar (pengawang lambat-ambat) akan berlaku dan bilangannya bergantung pada jumlah yang ditentukan oleh pengiring pengantin. Semasa di bilik pengantin, acara tepung tawar dilakukan ke atas pengantin. Setelah itu adat suap-menyuap (menemo) iaitu kedua pengantin akan disuapkan dengan nasi putih dan telur ayam oleh wakil keluarga. Pengantin akan dibaringkan serentak sebanyak 3 kali berturut-turut di atas katil peraduan (tagugan) dan barulah pengantin dikeluarkan dari bilik untuk majlis bersanding. 6) Majlis Bersanding (Nagsanding) : Pengantin akan bersanding di atas sebuah singgahsana raja sehari yang telah dihias untuk mempertontonkan kepada orang ramai yang hadir. Acara merenjis disempurnakan oleh kedua-dua pihak pengantin dan orang kenamaan sebagai tanda merestui perkahwinan tersebut. Majlis ini selalunya akan diulangi pada malam ketiga (ratub tello') dan malam ketujuh (ratubturu). Sebelum genapnya hari yang ketujuh, pengantin dilarang untuk memijakkan tanah kerana itu adalah pantang larang dan semasa berpantang, kelas nasihat akan dikendalikan oleh tok guru atau mak andam yang sangat berpengalaman dalam perkahwinan. 7) Majlis Sambut Menantu (Tingkuang) : Selepas 7 hari (ratob turu'), sampailah waktu. Pengantin lelaki membawa isterinya pulang ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada keluarga secara rasmi. Majlis tepung tawar (penemmil) akan dilaksanakan sebelum pengantin masuk ke dalam rumah dan apabila melangkah masuk, pengantin akan ditaburi dengan beras kunyit (begkas bianing) sebagai tanda kesyukuran. Hadiah istimewa (pengennik) dari keluarga pengantin lelaki akan diberikan kepada pemgantin perempuan sebagia tanda kasih sayang dan penerimaanmereka ke atas orang baru dalam keluarga. Selepas itu, imam akan membacakan doa kesyukuran di akhir majlis. Setelah itu barulah kedua pengantin berkunjung ke rumah keluarga untuk diperkenal-kenalkan yang diikuti oleh ibu bapa pengantin. ADAT TARIAN SUKU KAUM ORANG SUNGAI TARIAN SUMAZAU Menurut Asmad dalam bukunya Kesenian Tari, Tarian Sumazau adalah sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Tarian Sumazau ini merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Suku Kaum Kadazandusun ini merupakan nama bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya, antarannya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Dusun labuk, Orang Sungai dan sebagainya. Memandangkan Orang Sungai berasal daripada Suku Kaum Kadazandusun, maka Orang Sungai juga membawa Tarian Sumazau pada hari perayaan. Tarian Sumazau ini dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di Negeri Sabah pada setiap bulan Mei. Ilham Tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah pada musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga menolak bala, menyemah semangat, mengubati penyakit, dan majlis perkahwinan. Pada zaman lampau tarian ini ditarikan sebagai suatu persembahan kehormatan kepada para pahlawan masyarakat Kadazan yang baru balik dari sesuatu pertempuran. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani yang terdiri daripada kaum lelaki dan kaum perempuan dengan memakai pakaian tradisional. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong yang terdiri daripada 6 buah yang berlainan ukuran dan satu gendang dengan rentak yag khusus. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakan turun naik seperti burung terbang. Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya akan memakai pakaian tradisional berwarna hitam yang dinamakan sebagai Baju Kadazan. Baju Kadazan ini dihiasi dengan corak-corak yang menarik menggunakan benang yang berwarna emas. Difahamkan Baju Kadazan ini mempunyai harga yang amat mahal apabila dijual kepada pelanggan. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta tali pinggang yang diperbuat daripada duit syiling perak manakala penari lelaki biasannya akan memakai tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering. TARIAN TITIKAS Tarian Titikas juga merupakan salah satu tarian yang dibawah oleh Orang sungai untuk dipersembahkan pada majlis-majlis tertentu sepert majlis perkahwinan, Pesta Tadau Kaamatan, menyambut ketibaan tetamu kehormat dan sebagainya. Tarian Titikas ini berasal daripada suku kaum orang Sungai di kawasan Kinabatangan, Sandakan. Pergerakan Tangan semasa menari ialah sama seperti permainan ‘ingki-ingki’. Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian ini dikenali sebagai ‘titikas’, ‘ gabang’ , ‘ kantung’ , dan juga gong. ADAT KEMATIAN KAUM SUNGAI Kaum Sungai berasal dari suku kaum Idahan yang berada di kawasan Sandakan dan Kinabatangan.Orang Sungai dikatakan berasal daripada subkeluarga Idahan adalah Orang Sungai yang tinggal di kawasan Kinabatangan seperti di Kampung Abai, Kampung Bilit, Kampung Segaliud dan Kampung Suan Lamba. Suku Kaum Sungai begitu kuat memegang soal adat dan pantang larang semasa mengurus soal kematian. Kepercayaan, pantang larang dan adat-adat tersebut hendakah dipatuhi. Kepatuhan ini perluu dilakukan kerana ia dianggap sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Terdapat tiga tahap atau peringkat pengurusan jenazah, iaitu semasa mayat berada di rumah ,semasa hari pengebumian dan majlis kenduri. Ketiga-tiga tahap ini mempunyai pantang dan adat yang berbeza-beza. SEMASA MAYAT BERADA DI RUMAH Apabila berlaku kematian,keluarga si mati akan menyediakan ruang untuk meletakkan mayat di dalam kawasan rumah. Kebiasannya, mayat akan diletakkan di satu kawasan sudut ruang tamu rumah. Di Tempat ini, jugalah jasad si mati akan dimandikan dan seterusnya dikafankan. Tujuannya bagi memudahkan saudara-mara dan sahabat handai untuk menatap wajah si mati untuk kali terakhir selain memudahkan bacaan doa yang berupa sedekah kepada si mati. Selepas itu, mereka akan memaklumkan kepada semua sanak saudara yang jauh ataupun dekat tentang kematian tersebut. Semasa jenazah berada di rumah,jenazah ini akan ditutup dengan kain putih dan diletakkan al-Quran diatas kepalanya. Mayat yang baharu meninggal akan dimandikan Rupog terlebih dahulu sebelum proses memandikan mayat dimulakan. Semasa memandikan mayat, jika mayat itu seorang lelaki, maka , ia akan diruskan oleh imam dan pembantunya yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga si mati. Jika perempuan, maka mayat akan diurus oleh kaum wanita. Mayat kanak-kanak yang belum akil baligh tidak perlu dimandikan Rupog kerana mereka masih bersih dan suci. Mandian Rupog sebenarnya bertujuan untuk membersihkan mayat daripada segala najis.Orang yang bertanggungjawab mengurus mandian Rupog ialah imam kampung. Mandian Rupog hanya menggunakan air biasa dan selepas dimandikan Rupog barulah mayat itu dipakaikan kain sarung baharu ataupun kain yang dipakainya semasa hidup. Selepas mandian Rupog selesai, segala barang yang diletakkan tadi hendaklah diletakkan semula di tempat asal. Selepas mandian Rupog, sanak saudara dan sahabat handai dibenarkan menziarahi si mati untuk kali terakhir dan memberi sedekah berupa doa atau membaca Surah Yasin dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran kepada mayat. Semasa mayat berada di rumah, sanak saudara akan menyediakan segala keperluan untuk menyempurnakan mayat. Kebiasaannya, keperluan yang diperlukan ialah kain putih untuk dikafan, jenis-jenis air yang akan digunakan unrtuk memandikan mayat, menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang dating menziarahi si mati buat kali terakhir. SEMASA HARI PENGEBUMIAN Pada masa ini, sanak saudara dan sahabat handai akan bergotong royong menguruskan jenazah sehingga selesai dikebumikan. Bagi kaum Lelaki, ada yang akan berada di kawasan tanah perkuburan untuk menggali kubur dan ada yang berada di kawasan rumah untuk membantu membina khemah, membuat keranda yang diperbuat daripada batang buluh, batu nisan yang diperbuat daripada kayu, (jika si mati seorang lelaki, bentuk batu nisan adalah bulat tetapi jika wanita, batu nisannya adalah bulat tetapi jika wanita, batu nisannya berbentuk ceper yang diperbuat daripada papan berukuran 2 inci panjang dan 4 inci lebar. Sebelum kubur digali, imam yang bertanggungjawab mengurusjenazahakan mengukur ketingggian si mati.Kebiasaannya mayat diukur menggunakan tali raffia sahaja. Setelah diukur,imam kemudiaannya akan pergi ke kawasan tanah perkuburan untuk menandakan ketinggian, panjang dan lebar lubang kubur yang perlu digali. Lazimnya, ketinggian tetap adalah 7 kaki dan lebarnya 3 kaki, yang membezakan antara setiap lubang kubur adalah kepanjangannya sahaja. Kubur yang hendak digali itu mestilah menghadap kiblat. Ketikahendak menetukan kawasantanahyang hendak digali,imam akan menanda sambil membaca beberapa ayat suci dan doa supaya tidak berlaku perkara yang tidak baik semasa proses penggalian kubur dijalankan.Setelah ditanda, diukut dan dibacakan doa maka,barulah proses penggalian dimulakan. Kubur hanya boleh digali ole seorangindividu, namun individu kedua boleh menggantikan individu pertama semasa proses menggali kubur itu. Hal ini dipercayai jika kubur digali oleh lebihdaripada seorang atau bersama-sama, dipercayai akan mengikut jejak kematian selepas itu. Proses memandikan jenazah hendaklah dilakukan dengan tertib dan beradab kerana jasad mayat dipercayai akan berasa sakit jika dimandikan dengan cara yang kasar. Terdapat 4 jenis air yang digunakan semasa memandikan jenazah,iaitu air bedak, air santan, air talkin dan air limau . Cara memandikan mayat hanya sepuluh kali sahaja,iaitu dengan cara menjirus air sebanyak tiga kali ke kanan, selepas itu tiga kali ke kiri, dan kemudian tiga kali di tengah. Air yang terakhir, iaitu air yang ke-10 dijirus ke seluruh badan mayat. Sepanjang perjalanan menuju ke tanah perkuburan, semua orang yang mengiringi jenazah akan berzikir. KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG SEMASA KEMATIAN Sekiranya kematian berlaku, orang kampong akan memberhentikan kegiatan seperti berkebun, memburu dan sebagainya. Kebiasaannya mereka akan terus datang ke rumah si mati untuk menziarahi dan membantu mengerjakan atau menyiapkan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Seterusnya, tidak boleh bertengkar sesama sendiri dalam kalangan ahli keluarga kerana dipercayai roh si mati masih berada di rumah dan dipercayai roh melihat segala perlakuan sanak saudaranya ketika itu , yakni sebelum jasadnya dikebumikan. Benda-benda tajam seperti gunting, pisau hendaklah diletakkan di atas pusat si mati. Tujuannya, kerana dikhuatiri mayat akan diganggu dan dihasut oleh syaitan serta makhluk halus. Semasa jenazah masih berada di rumah, semua kucing akan ditangkap dan dikurung buat sementara waktu kerana dikhuatiri kucing akan melangkah mayat.Ketika memandikan mayat, sesiapapun dilarang berada di bawah kolong rumah kerana dikatakan tidak baik jika terkena air mandian mayat tersebut. PENUTUP Kini suku Kaum Sungai sedang mengalami proses perubahan daripada nilai tradisi kepada nilai moden, baik dari segi corak hidup mahupun amalan dan kepercayaan serta pantang larang. Perubahan ini selari dengan pendedahan generasi muda dengan pendidikan moden yang secara perlahan-lahan mula menghakis amalan nenek moyang mereka.Dengan erti kata lain,segala amalan yang tidak selari dengan akidah Islam telah ditinggalkan manakala amalan-amalan yang tidak bertentangan tetap diteruskan dengan cara membuat proses asimilasi. Namun,daalam kalangan generasi tua kebanyakannya masih lagi berpegang teguh dan mengamalkan ritual kematian ini. Mereka masih menyakini peranannya dalam kehidupan seharian.Bentuk penempatan Kaum Sungai buat masa sekarang masih lagi wujud sehingga ke hari ini, tetapi mereka tidak lagi berpindah randah. Kawasan kampong yang diduduki oleh Suku Kaum Sungai pada masa sekarang ialah seperti di kawasan Kg. Sapagayo, Kg. Segama dan Kg.Binuang. RUJUKAN Buku Asmad, (1990). Kesenian Tari (M/S. 130). Kuala Lumpur, Malaysia: Perpustakaan Negara Malaysia. Rosazman Hussin,Dayu Sansalu& Jalihah Md.Shah, (2012) , Orang Sungai. Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB ) Abdul Halim Bandan (2006) , Cerita Tradisi Sabah Suku kaum Sungai. Dewan Bahasa dan Pustaka . Saidatul Norniz Hj. Mahali (2010) , Adab dan Ritual Kematian di Sabah.(M/S 63-83) . Utusan Kinabalu CO Sdn.Bhd Mohd Sarim Hj. Mustajab (2007 ) , Plurariti etnik dan budaya di Sabah. (M/S 31-61) . Universiti Malaysia Sabah Internet Kalabatukini. (2012, March Thursday). about us: A. Warisan Kaum Kadazandusun. Retrieved march Monday, 2015, from A. Warisan Kaum Kadazandusun: http://kalabatukini.blogspot.com/2012/03/warisam-kaum-kadazandusun.html http://www.academia.edu/2137404/PENGERTIAN_ADAT_RESAM_DAN_BUDAYA_MELAYU Temu Bual Siti Nor Hasemah binti Sapuddin, 21 Tahun, Bangsa Sungai LAMPIRAN PAKAIAN TRADISONAL KAUM SUNGAI TARIAN KAUM SUNGAI YANG DIPERSEMBAHKAN

DARI PENA GURU